Selangor Fruits Valley di Bestari Jaya menyediakan pelbagai daya tarikan kepada pengunjung yang ingin menikmati pelbagai jenis buah-buahan dan sayuran tempatan. Foto ihsan Tourism Selangor
AGENSISELANGOR

Watak animasi BoBoiBoy promosi produk pelancongan Selangor

SHAH ALAM, 13 MEI: Watak animasi BoBoiBoy yang popular di dalam dan luar negara akan digunakan untuk mengetengahkan destinasi pelancongan unik seluruh Selangor.

Ketua pegawai eksekutif Tourism Selangor berkata promosi melalui penghasilan video berdurasi tiga minit dijayakan bersama syarikat animasi berkenaan, Animonsta Studios Sdn Bhd.

Menurut Azrul Shah Mohamad, video tersebut menampilkan watak Gopal berkunjung ke semua destinasi pelancongan negeri seperti Sekinchan dan aktiviti rakit air.

“Proses penggambaran video dalam pelbagai bahasa itu sebenarnya sudah dijalankan Animonsta Studios sebelum Ramadan lagi bagi kempen raya mereka.

“Mungkin selepas raya kita akan lancarkan video ini kerana sebelum ini kita tunggu pintu sempadan dibuka termasuk kelonggaran tatacara operasi piawai (SOP),” katanya kepada Selangorkini.

Azrul Shah juga yakin pemilihan adiwira popular yang menembusi pasaran hiburan di lebih 70 negara akan menarik perhatian masyarakat di seluruh dunia.

“Kita yakin video pelancongan ini berpotensi meraih tontonan ramai dari seluruh dunia sekali gus memilih Selangor sebagai destinasi pelancongan mereka,” katanya lagi.


Pengarang :