Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima selepas majlis penyampaian sumbangan insentif haji di Masjid Al Azim Pandan Indah, Hulu Langat pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

14 tahun menanti, suami isteri gembira terpilih jadi tetamu Allah

AMPANG, 21 JUN: Terpilih menjadi tetamu Allah untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini menjadi khabar gembira buat sepasang suami isteri selepas menanti 14 tahun.

Meskipun tertangguh dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19, Atikah Mohd Yusof, 58, dan Zulkefli Mohd Jin, 63, bersyukur kerana hasrat menjejakkan kaki ke Mekah akhirnya tertunai.

Atikah Mohd Yusof

Atikah dan suami berdaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH) pada 2008 sebelum dipanggil dua tahun lalu, namun perintah kawalan pergerakan (PKP) membantutkan impian mereka ketika itu.

“Alhamdulillah, tahun ini cita-cita jadi kenyataan. Sukar untuk saya gambarkan perasaan sebaik mendapat berita itu dan hanya mampu mengungkapkan rasa syukur kerana Allah beri peluang yang diidamkan semua umat Islam,” katanya.

Terdahulu, mereka antara 24 bakal jemaah dari Hulu Langat yang menerima insentif Haji Muassasah Selangor dalam sesi penyerahan di Masjid Al-Azim, Pandan Indah pada Ahad.

Sumbangan disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek.

Dalam pada itu, Atikah yang tinggal di Taman Kosas berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan Selangor menyediakan sumbangan khas bernilai RM500 kepada bakal jemaah negeri ini.

“Apabila dapat tahu MBI mahu beri insentif ini, saya segera hantar permohonan kepada pejabat penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya. Tiga hari lepas, mereka hubungi dan minta kami datang ke sini untuk terima sumbangan,” katanya.

Ramlan Sulaiman

Sementara itu, Ramlan Sulaiman, 56, turut menanti dalam tempoh sama dan teruja apabila berpeluang ke tanah suci bersama isteri serta anak tunggalnya esok.

“Kami mendaftar dengan TH sejak 2008 dan sepatutnya berangkat ke sana pada 2020, tetapi disebabkan PKP ia ditangguh ke tahun ini. Benda baik seperti ini bukan mudah untuk dapat sebab masih ramai yang sedang menunggu giliran.

“Jadi kami tidak mahu lepaskan peluang diberi. Selepas dapat surat tawaran dan tarikh penerbangan, kami terus mohon insentif Haji Muassasah. Kami hargai sumbangan Kerajaan Negeri kepada bakal jemaah,” katanya.

Shahidi Hamid

Bagi Shahidi Hamid, 56, beliau tidak menyangka namanya dan isteri disenarai sebagai bakal jemaah tahun ini pada saat akhir sekali gus menamatkan penantian sejak 2009.

“Perasaan bercampur baur, gemuruh tetapi teruja memandangkan kali pertama kami berkesempatan ke tanah suci. Persediaan sudah dilakukan dan menunggu tarikh berangkat yang dijadual pada 25 Jun ini.

“Saya turut berterima kasih kepada MBI yang sudi menghulurkan bantuan kepada kami, sekurang-kurangnya boleh tampung perbelanjaan di sana nanti,” katanya.


Pengarang :