Seramai 295 orang jemaah haji yang merupakan kumpulan pertama selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, Madinah, kira-kira 9.30 malam waktu Malaysia pada 4 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDA GLOBAL

295 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Madinah

MADINAH, 5 JUN: Seramai 295 orang jemaah haji yang merupakan kumpulan pertama, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz kira-kira pukul 9.30 malam tadi waktu Malaysia.

Ketibaan mereka di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick yang terletak bersebelahan dengan perkarangan Masjid An Nabawi disambut oleh Konsul Haji Mohammad Saimi Mat Som, Konsul di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia Farah Syafina Bahari dan Muhammad Hafiz Bahar Ketua Canseri, Konsulat Malaysia di Jeddah.

Mohammad Saimi berkata Lembaga Tabung Haji (TH) amat bersyukur atas ketibaan itu, dan ia memecah kerinduan pada senario musim haji selepas dua tahun tertangguh, akibat pernularan wabak Covid-19.

“Kami mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan kerajaan Arab Saudi terutama penjaga dua kota suci Raja Salman Abdulaziz dan Putera Mahkota Mohamad Salman, di atas keputusan membuka ibadat haji kepada negara luar.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Kementerian luar, Syarikat Adila dan pihak berkuasa tempatan serta Kedutaan Malaysia di Arab Saudi, yang sentiasa membantu memudahkan apa juga peraturan-pertauran dan syarat syarat yang perlu dipatuhi dalam semua urusan jemaah haji Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Tambah beliau dengan ketibaan jemaah tersebut bermulalah operasi haji di Tanah Suci dan pihaknya akan terus memastikan kemudahan dapat diuruskan dengan baik dan teratur.

“Semua jemaah haji Malaysia perlu menjaga kesihatan dan kebersihan diri agar sentiasa berada pada tahap terbaik.

Mereka juga perlu mengikuti segala nasihat dan tatacara operasi piawai (SOP) yang dikeluarkan oleh petugas dari semasa ke semasa. Cuaca di Madinah agak panas yang mencecah 50 darjah celcius dan elakkan terdedah terlalu lama di bawah cahaya matahari,” katanya.

Seramai 14,306 orang jemaah haji Malaysia akan menunaikan ibadat Rukun Islam kelima itu pada tahun ini dan mereka dijadualkan tiba di Madinah serta Makkah secara berperingkat.

– BERNAMA

 


Pengarang :