ADN Sekinchan Ng Suee Lim menjalani pemeriksaan kesihatan ketika meninjau Program Selangor Saring di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Yoke Kuan, Sekinchan, Sabak Bernam pada 5 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Selangor Saring pupuk masyarakat cegah penyakit sebelum mudarat

SABAK BERNAM, 5 JUN: Pemeriksaan kesihatan percuma Selangor Saring diadakan bagi memupuk kesedaran betapa pentingnya mencegah penyakit berbanding mengubatinya.

Ahli Dewan Negeri Sekinchan Ng Suee Lim berkata kebanyakan masyarakat mengabaikan kesihatan kerana terlalu sibuk dengan kerja sehingga memudaratkan badan.

Peserta yang hadir untuk melakukan pemeriksaan kesihatan sempena program Selangor Saring di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Yoke Kuan, Sekinchan, Sabak Bernam pada 5 Jun 2022 . Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Menerusi inisiatif Kerajaan Negeri ini, kita dapat mengesan sekiranya ada simptom dapat mencegah dan mengubatinya selain peratusan pemulihan lebih tinggi.

“Selangor sediakan pelbagai insentif untuk rakyat tetapi program kesihatan ini lebih bermakna dan baik. Tanpa tubuh badan sihat kita tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya.

Beliau ditemui ketika hadir ke program Selangor Saring Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yoke Kuan, Sekinchan hari ini.

Suee Lim yang juga speaker Dewan Negeri memaklumkan pihaknya turut membuat hebahan di kawasan sekitar bagi mempelawa masyarakat.

“Kita buat hebahan lagi kerana ada yang tidak percaya saringan diberikan percuma. Pasukan pejabat pusat khidmat rakyat membuat rondaan untuk memaklumkan semula tentang program.

“Kita mahu semua hadir supaya rakyat kekal sihat dan saringan diberikan kepada semua tanpa mengira parti serta bukan untuk kepentingan politik,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.


Pengarang :