Pengarah Eksekutif Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman (tengah) menyantuni petugas haji yang dihantar ke Arab Saudi bagi menjayakan operasi ibadah haji semasa majlis pelepasan ke tanah suci di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 30 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiga dijangkiti Covid-19 ketika kenduri, jemaah diseru amal kawalan kendiri

JOHOR BAHRU, 5 JUN: Jemaah haji yang bakal berlepas ke tanah suci dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan kawalan kendiri bagi mengelakkan daripada dijangkiti Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata hal ini berikutan terdapat tiga jemaah haji daripada kumpulan pertama disahkan positif Covid-19, yang dipercayai berpunca daripada majlis kenduri.

Beliau berkata susulan itu jemaah haji diingatkan supaya sentiasa berjaga-jaga bagi mengelakkan daripada mereka terlepas penerbangan seperti yang dijadualkan.

“Saya dimaklumkan (tiga) jemaah ini dijangkiti ketika buat kenduri, mungkin waktu itu datang tetamu yang tidak sihat, bawa virus dan menyebabkan berlaku wabak.

“Kalau hendak buat kenduri tidak mengapa, tetapi kalau boleh kena ikut tatacara operasi piawai (SOP) dan sebagainya, kita bimbang nanti takut terjejas pula jadual penerbangan mereka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Mahrajan Memanah Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama (MESMA) peringkat Kebangsaan di Arena Emas di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jemaah haji kumpulan pertama yang disahkan positif Covid-19.

Bagaimanapun, Idris berkata jemaah haji yang positif Covid-19 masih berpeluang untuk mengerjakan haji musim ini berikutan penerbangan terakhir adalah pada Julai depan.

“Jika positif, mereka ada masa lagi (untuk mengerjakan ibadah haji) kerana penerbangan akhir kita (mungkin) sama ada awal 2 atau 3 Julai nanti. Selepas mereka habis kuarantin, sekiranya mereka sihat Insya-Allah boleh terbang (ikut kumpulan lain),” katanya.

Semalam, Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata tiga daripada 298 jemaah haji kumpulan pertama ke Tanah Suci bagi musim 1443H/2022, disahkan positif Covid-19.

Terdahulu, seramai 295 jemaah haji yang merupakan kumpulan pertama, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, Madinah kira-kira pukul 9.30 malam tadi waktu Malaysia.

Seramai 14,306 jemaah haji Malaysia akan menunaikan ibadat Rukun Islam Kelima itu pada tahun ini dan mereka dijadualkan tiba di Madinah serta Makkah secara berperingkat.

-BERNAMA


Pengarang :