ADN Taman Templer Mohd Sany Hamzan ketika berucap majlis penyerahan komputer riba di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ideal Height, Batu Caves, Selayang pada 21 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN: 11 sekolah di Taman Templer perlu dibaik pulih, kemudahan baharu

SELAYANG, 22 JUN: Sebanyak 11 sekolah sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer dikenal pasti memerlukan kemudahan asas baharu dan baik pulih infrastruktur.

Wakil rakyatnya berkata permohonan akan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi membantu enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) serta lima Sekolah Kebangsaan (SK) terbabit.

“Misalnya SMK Rawang Semekar, SMK Darul Ehsan dan SMK Selayang Baru memerlukan baik pulih infrastruktur termasuk kemudahan lain seperti komputer dan mesin pencetak untuk keselesaan pelajar serta guru.

“Alhamdulillah tahun ini Kerajaan Negeri buka ruang kepada sekolah bantuan penuh kerajaan untuk buat permohonan berkenaan. Insya-Allah kita akan bawa kepada pihak berkaitan,” kata Mohd Sany Hamzan.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan lima unit komputer riba untuk kegunaan pusat akses SMK Ideal Height dekat sini semalam yang dihadiri Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor.

Mengulas lanjut, Mohd Sany berkata Kerajaan Negeri mengambil berat soal pendidikan anak Selangor meskipun tanggungjawab berkenaan sepatutnya digalas kerajaan persekutuan.

“Malah sehingga ke hari ini sekolah mubaligh, sekolah rendah Cina dan sekolah Tamil turut dibantu sekali gus membuktikan Kerajaan Negeri tidak memilih ‘bulu’ walaupun tahu pendidikan itu terletak di bahu kerajaan pusat. Ini semestinya suatu bonus kepada sekolah di Selangor.

“Selain itu, program lain turut diperkenalkan antaranya hadiah masuk universiti dan tawaran melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan milik Kerajaan Negeri seperti Universiti Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor serta Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor,” katanya.


Pengarang :