Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi tabik hormat kepada perarakan panji-panji semasa Istiadat Perarakan Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong sempena ulang tahun Hari Keputeraan Baginda di Dataran Pahlawan, Presint 1, Putrajaya pada 10 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong, Raja Permaisuri berkenan ke istiadat mengarak panji

PUTRAJAYA, 10 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyempurnakan istiadat mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara, di sini.

Turut berangkat pada istiadat sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong itu, adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Keberangkatan tiba pasangan Diraja pada 8.30 pagi itu disambut dengan alunan lagu Negaraku daripada Pancaragam Gabungan Pusat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah pimpinan Mejar (DOM) Muhamad Nor Azizan Yahya.

Ia disusuli terbang lintas hormat lima pesawat ATM dengan membawa Jalur Gemilang, bendera ATM, Panji Tentera Darat Malaysia (TDM), Panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Panji Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang diketuai Mejar Nazrul Nizam Ismail dari No 10 Skuadron TUDM.

Serentak itu, sebanyak 21 das tembakan kehormatan dilepaskan oleh 41 Bateri Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai Lt Kol Mohammad Asri Che Wil.

Al-Sultan Abdullah kemudiannya memeriksa perbarisan yang terdiri daripada 57 pegawai dan 847 anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM, diketuai Pegawai Pemerintah Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD) Lt Kol Mohd Fadzly Mohd Yasin.

Usai pemeriksaan barisan, Gabungan Pancaragam Pusat ATM masuk membuka medan sekali gus istiadat mengarak lima Panji Yang di-Pertuan Agong menyusul dengan penuh istiadat ketenteraan dalam tempo kawad perlahan dan cepat.

Lima Panji Yang di-Pertuan Agong diarak iaitu Panji Rejimen Askar Melayu, Panji Rejimen Renjer Diraja, Panji Kor Armor Diraja, Panji Tentera Laut Diraja Malaysia dan Panji Tentera Udara Diraja Malaysia.

Panji-panji merupakan satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat dan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh ATM terhadap Raja dan Negara.

Penganugerahan panji-panji kepada perkhidmatan di dalam ATM iaitu TDM, TLDM dan TUDM merupakan pengiktirafan, penghormatan dan lambang kesetiaan sesebuah perkhidmatan berkenaan kepada Raja dan Negara.

Pada penghujung istiadat itu, laungan “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali digemakan oleh anggota perbarisan diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin Ketua Pengarah Kor Agama ATM Mej Jen Mohd Rashidi Bujai dan diakhiri lagu “Negaraku”.

Al-Sultan Abdullah sekali lagi menerima lintas hormat oleh kelima-lima pesawat ATM sebelum Seri Paduka Baginda dan Tunku Azizah, berangkat meninggalkan majlis itu pada 9.30 pagi.

Istiadat yang berlangsung kira-kira satu jam itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan isteri, serta Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang dan isteri.

Istiadat berkenaan merupakan majlis terakhir daripada enam acara yang dijadual berlangsung bermula dari 2 Jun lepas hingga hari ini, bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada Isnin (6 Jun) lepas.

– BERNAMA


Pengarang :