Petugas kesihatan mengambil sampel darah peserta program Selangor Saring di Hotel Grand Sabak, Sabak Bernam pada 28 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kerap pening, pusing kepala? Sertai saringan kesihatan percuma esok, lusa

SHAH ALAM, 10 JUN: Individu kerap mengalami rasa pening dan pusing kepala disaran melakukan pemeriksaan kesihatan segera kerana berkemungkinan menghidap penyakit darah tinggi.

Justeru EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud mempelawa mereka di Hulu Langat, Kuala Selangor dan Kuala Langat yang memiliki simptom supaya melakukan pemeriksan kesihatan percuma menerusi program Selangor Saring hujung minggu ini.

Program percuma itu diadakan esok di Dewan Lembah Jaya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya dan Bukit Antarabangsa.

Manakala Ahad di Dewan Wawasan Kampung Medan untuk DUN Sijangkang serta Dewan Orang Ramai Kampung Seri Tiram Jaya untuk DUN Permatang dan Sungai Burong.

Dr Siti Mariah memaklumkan 30 peratus penduduk negeri ini yang berusia 18 tahun ke atas dilaporkan mempunyai masalah darah tinggi.

“Individu boleh mendaftar melalui aplikasi Langkah Dengan Selamat (SELangkah) bagi menjalani pemeriksaan tersebut.

“Ujian saringan ditawarkan berdasarkan penilaian faktor risiko individu melalui borang saringan awal di aplikasi SELangkah,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk terutama yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan barah payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :