Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berucap pada program Merangsang Ekonomi Mensejahtera Komuniti Petaling Jaya di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 26 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Ekonomi berkembang, kutipan hasil MBPJ cecah RM175.8 juta setakat Mei

SHAH ALAM, 29 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya mengutip hasil sebanyak RM175.8 juta setakat Mei berbanding anggaran RM388.7 juta tahun ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata jumlah kutipan dalam tempoh sama tahun lalu ialah RM166.6 juta sekali gus menunjukkan peningkatan.

“Peningkatan kutipan hasil ini memberikan gambaran awal bahawa sektor ekonomi di Petaling Jaya sedang berkembang selepas tempoh pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau menjelaskan MBPJ menyediakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kutipan hasil antaranya menggalakkan pembayaran secara dalam talian dan membuka kaunter bergerak.

Mohamad Azhan berkata pihaknya turut melaksanakan operasi bersepadu secara berjadual dan sentiasa mengeluarkan notis peringatan mesra bayaran dengan kerjasama pelbagai jabatan.

“Secara keseluruhannya, prestasi kewangan MBPJ masih mencatatkan lebihan kewangan sebanyak RM50.476 juta berbanding cadangan bajet defisit sebanyak RM 21.986 juta.

“Jumlah ini diambil kira selepas kutipan hasil sebanyak RM175.8 juta ditolak dengan jumlah perbelanjaan mengurus (RM106.65 juta) dan perbelanjaan pembangunan (RM18.67 juta),” katanya.


Pengarang :