EXCO Modal Insan Mohd Khairuddin Othman (kiri) beramah mesra bersama pelajar ketika majlis penyerahan sumbangan wakaf Al-Quran kepada Maahad Tahfiz An Nur (MATAN) di Taman Puchong Intan pada 7 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO santuni pelajar tahfiz, serah bantuan RM5,000

PUCHONG, 7 JUN: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan RM5,000 kepada Maahad Tahfiz An-Nur (MATAN) di Taman Puchong Intan di sini.

EXCO Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berkata daripada jumlah itu RM4,000 adalah sumbangan dalam bentuk wakaf al-Quran manakala bakinya bagi menampung keperluan asas maahad tahfiz itu.

“Program modal insan sebelum ini banyak memfokuskan kepada menyantuni anak yatim dan rumah kebajikan kemudian tahun ini Kerajaan Negeri mahu mendekati pelajar tahfiz.

“Semoga dengan sumbangan ini sedikit sebanyak ia dapat membantu pihak pengurusan tahfiz melahirkan modal insan yang cemerlang dan seterusnya menjadi masyarakat madani di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis santuni pelajar tahfiz dan sumbangan wakaf al-Quran di sini hari ini.

Manakala, Pengurus MATAN Abdul Hadi Sabran turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri menerusi pemberian sumbangan tersebut.

“Ini adalah kali pertama menerima sumbangan dari Kerajaan Selangor, ribuan terima kasih, semoga ukhwah antara pihak maahad tahfiz dan kerajaan terus kekal terjalin,” katanya.

Pada awal penubuhannya pada 2015, MATAN hanya mempunyai 10 pelajar tahfiz lelaki namun bilangannya kini bertambah kepada 56 orang.


Pengarang :