Pengasuh melakukan aktiviti membaca bersama kanak-kanak ketika pelancaran Taska Anak Petugas Barisan Hadapan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 18 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Ibu, anak susuan diminta dapatkan kad MyRadha’ah, elak kekeliruan nasab

SHAH ALAM, 29 JUN: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) meminta ibu susuan mendaftar nama mereka dan anak susuan bagi mengelak masalah kekeliruan nasab.

Pihak berkuasa agama itu memaklumkan pendaftaran boleh dibuat di jabatan berkenaan.

“Selepas mendaftar, Jais akan mengeluarkan kad MyRadha’ah untuk disimpan ibu dan anak susuan.

“Kad itu mengandungi maklumat ibu dan anak susuan seperti nama, nombor kad pengenalan atau MyKid serta nombor rekod pendaftaran,” katanya.

Permohonan kad MyRadha’ah perlu dikemukakan oleh ibu susuan atau anak susuan dan hendaklah sempurna lima kali penyusuan yang mengenyangkan anak yang disusui.

Selain itu, anak yang disusukan perlu berusia kurang daripada dua tahun dengan penyusuan berlaku secara langsung atau tidak langsung.

Borang permohonan boleh diperoleh di https://www.jais.gov.my dan sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-5514 3458/3464.

Pada 19 November 2018, Dato’ Menteri Besar berkata kad khas bagi bayi yang menyusu daripada wanita bukan ibu kandung itu bertujuan menghalang anak susuan berkahwin sesama saudara susuan, selain menjaga keturunan umat Islam dengan pernikahan sah.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia sekali gus dapat memudahkan dan menjamin supaya perkahwinan masa hadapan itu berada dalam kebenaran serta lindungan syarak khususnya, di Selangor.


Pengarang :