PBTSELANGOR

MPS jejak individu buang, bakar perabot di tapak sampah haram

SHAH ALAM, 3 JUN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sedang mengesan individu yang membuang dan membakar perabot di lokasi tapak pembuangan sampah haram di Taman Berlian, Gombak.

Menurut pengarah Jabatan Korporatnya, perbuatan yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dikesan berlaku pada 31 Mei lalu antara jam 10.17 hingga 10.30 malam, lapor Sinar Harian.

“Individu tersebut didapati telah membuang secara haram sampah sisa pukal malah sampah pukal dipercayai perabot itu turut dibakar.

“Siasatan sedang dilaksanakan bagi mengesan individu berkenaan yang boleh dikompaun RM1,000 di bawah peraturan tersebut,” kata Mohamad Zin Masoad.

Katanya, tindakan itu menyalahi Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan, Pelupusan Sampah Sarap MPS 2007 dan pemantauan akan dibuat bagi mengelak kejadian sama berulang.

Beliau turut meminta orang ramai melaporkan sebarang aktiviti pembuangan sampah haram kepada MPS dengan menghubungi talian aduan bebas tol di 1 800 3636.

 


Pengarang :