Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad (tengah) bersama wakil agensi kerajaan yang terlibat pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 5 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PBAKL: Pavilion Selangor terima hampir 10,000 pengunjung dalam tiga hari

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Pavilion Selangor di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 menerima sambutan ramai sehingga mencecah 10,000 pengunjung setakat hari ketiga penganjuran.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata program di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini memberi peluang kepada orang awam mendapatkan maklumat berkaitan inisiatif Kerajaan Negeri.

“Alhamdulillah sejak hari pertama penganjuran pada Jumaat, pengunjung PBAKL melimpah hingga ke Pavilion Selangor. Lebih 2,900 pengunjung direkodkan pada hari berkenaan sahaja.

“Kita lihat apabila mereka penat berjalan, mereka singgah di sini untuk berehat kerana kita menyediakan kerusi dan minuman. Sementara itu, pegawai agensi berpeluang memberi penerangan berkaitan perkhidmatan masing-masing kepada pengunjung,” kata Datin Paduka Mastura Muhamad.

Pavilion Selangor di PBAKL 2022 merupakan ruangan Selangor sebagai negeri tamu menyediakan pelbagai maklumat mengenai insentif negeri bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Sebanyak 19 agensi terlibat seperti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Tourism Selangor, KDEB Waste Management (KDEBWM), Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) dan Perbadanan Adat dan Warisan Negeri Selangor.

Agensi lain meliputi Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), Yayasan Selangor, Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).

PBAKL 2022 kembali dianjurkan selepas dua tahun tertangguh akibat Covid-19 dan menyasar kehadiran sehingga sejuta pengunjung selama 10 hari berlangsung.


Pengarang :