Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) di Subang Jaya. Foto Facebook Sam Bestari
AGENDANASIONAL

Pelajar dijangkiti Influenza A, asrama SAM Bestari diarah tutup

SHAH ALAM, 24 JUN: Asrama Sekolah Agama Menengah Bestari (SAM Bestari) di Subang Jaya diarah tutup bermula semalam susulan penularan Influenza A dalam kalangan pelajar.

Pengarah Kesihatan Selangor berkata arahan penutupan sementara itu untuk proses nyahkuman dan mengawal jangkitan selepas seorang pelajar dimasukkan ke hospital, lapor Berita Harian.

Menurut Datuk Dr Sha’ari Ngadiman setakat semalam 191 pelajar sekolah menengah berasrama itu dikesan bergejala jangkitan saluran pernafasan atas seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak.

“Daripada jumlah itu, lima pelajar disahkan positif Influenza A, manakala sebanyak 13 sampel lagi masih menunggu keputusan.

“Ujian Covid-19 yang dijalankan ke atas 30 pelajar bergejala mendapati semuanya negatif,” katanya.

Semalam, Dr Sha’ari menerusi kenyataan memaklumkan terdapat kluster Influenza-Like- Illness (ILI) melibatkan sebuah sekolah di Petaling susulan 110 pelajar dikesan bergejala sejak 14 Jun lalu.

Beliau berkata Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling kini mengambil langkah pencegahan dengan memantau kes yang menjalani pengasingan dan merujuk kes yang memerlukan rawatan ke hospital.

“PKD juga menjalankan aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan pencegahan penularan kluster ILI,” katanya.


Pengarang :