SHAH ALAM, 22 JUN: Jumlah pendaftaran pembelian Rumah Idaman melebihi tawaran apabila sebanyak 6,194 permohonan diterima berbanding hanya 4,631 unit rumah ditawarkan.
Pengarah eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor berkata jumlah berkenaan adalah bagi tiga kawasan iaitu di Bukit Jelutong, Semenyih dan Kuala Langat.
“Di Bukit Jelutong rumah yang ditawarkan sebanyak 1,260 unit namun jumlah yang mendaftar sekitar 2,300, begitu juga Rumah Idaman di Semenyih yang dibina 2,059 unit tetapi yang memohon 2,596. Manakala di Kuala Langat 1,312 unit dan yang mendaftar 1,298.
“Berdasarkan maklum balas yang diterima bagi mereka yang mahu memiliki rumah amat-amat baik. Ini baru tiga kawasan dan selepas ini bila dibuka di kawasan lain pastinya lebih ramai yang memohon,” katanya.
Dato’ Dr Juhari Ahmad berkata demikian pada Bual Bicara Rumah Idaman: Mampu Milik dan Selesa yang disiarkan secara langsung di Media Selangor, malam tadi.
Beliau berkata syarat kelayakan mestilah warganegara Malaysia dengan tidak memiliki sebarang jenis kediaman di Selangor.
“Jadi mereka yang sudah punya rumah bila mohon memang tak kan dapat, permohonan itu akan ditolak serta merta. Syarat kelayakan itu ada di laman sesawang Rumah Idaman,” katanya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar mengumumkan pembinaan enam projek Rumah Idaman untuk membantu penduduk yang bekerja dan tinggal di Selangor memiliki kediaman pertama.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, setiap unit berkeluasan 1,000 kaki persegi, reka bentuk praktikal dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air, dijual dengan harga RM250,000.