Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dijadual berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) mulai 3 hingga 12 Jun 2022. Foto Twitter klibf.my
AGENDANASIONAL

Pesta Buku Antarabangsa KL bermula esok, sasar sejuta pengunjung

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Selepas dua tahun dilaksanakan secara dalam talian, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 (PBAKL 2022) akhirnya diadakan secara fizikal bermula esok hingga 12 Jun dan dijangka menarik kehadiran 700,000 hingga sejuta pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2022 Mohd Khair Ngadiron berkata acara selama 10 hari di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur itu bakal menempatkan lebih 700 gerai melibatkan hampir 200 penerbit tempatan dan antarabangsa termasuk Indonesia, Singapura dan Turki.

“Kita mengekalkan ‘tradisi’ PBAKL dengan meraikan pengunjung yang datang tanpa mengenakan sebarang bayaran masuk. Ia juga berlangsung ketika musim cuti sekolah dan ibu bapa mungkin boleh mengambil peluang keemasan ini untuk membawa ahli keluarga mereka ke sini,” katanya kepada Bernama.

PBAKL kali ke-39 berkenaan merupakan anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) di bawah Kementerian Pendidikan dengan kerjasama persatuan-persatuan industri buku Malaysia.

Antara program menarik di PBAKL 2022 adalah pelancaran Siri Koleksi Cerita Sasterawan Negara Siti Zainon dan Kolam Teduh Biru oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pelancaran Buku Etnosains Matematik Malayonesia, Bicara Buku Revolusi Bahasa dan Asas Tamadun oleh DBP dan Malam Baca Puisi PENA@PBAKL.

Mohd Khair yang juga Pengarah MBKM turut meminta pengunjung agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebagai usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

“Untuk itu, kita akan menyediakan cecair pembasmi kuman di setiap sudut acara selain pengunjung perlu menunjukkan status MySejahtera, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal,” katanya.

Menurut Mohd Khair selain diadakan secara bersemuka, PBAKL 2022 turut dilakukan secara hibrid bermula 1 hingga 15 Jun ini melalui kerjasama dengan syarikat e-dagang, Shopee.

Beliau berkata PBAKL sangat penting dalam memupuk budaya membaca dengan memberi pengalaman yang eksklusif kepada pengunjung.

“Keseronokan dan kegembiraan pengunjung yang datang jelas menunjukkan PBAKL membolehkan mereka berhubung dan berinteraksi secara langsung dengan penjual malah dengan pengarang buku yang dibeli.

“Pengarang atau penulis juga boleh berinteraksi dengan peminat buku untuk tujuan promosi dan membina hubungan baik sesama mereka,” katanya.

PBAKL 2022 dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8.30 malam Sabtu ini.

-BERNAMA


Pengarang :