Masyarakat diminta menyemak dahulu kesahihan sesuatu maklumat sebelum dikongsi dalam media sosial bagi mengelak penyebaran berita palsu dan maklumat tidak tepat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

SKMM terima 3,285 aduan berita palsu sejak 2020 hingga 31 Mei lalu

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima sebanyak 3,285 aduan mengenai kandungan yang dianggap sebagai berita palsu bagi tempoh 2020 hingga 31 Mei 2022.

Ketua Pegawai Kawal Selia MCMC Zulkarnain Mohd Yasin berkata terdapat peningkatan aduan berita palsu berkaitan Covid-19 pada Mac 2020 namun SKMM mendapati trendnya semakin menurun menjelang 2021.

“Jenis berita palsu yang biasa disebarkan ialah mengenai penyamaran atau merosakkan reputasi.

“Orang ramai cenderung untuk membuat generalisasi mengenainya tetapi dari segi undang-undang sesetengah berita palsu ini boleh dikategorikan sebagai fitnah terhadap seseorang secara semula jadi,” katanya dalam program terbitan Bernama TV, ‘The Brief: The Current State of Fake News’ di sini hari ini.

Zulkarnain berkata berita palsu juga termasuk tindakan menyamar sebagai individu terkenal atau individu terkemuka dalam politik, perniagaan atau perbankan sebagai menjalinkan usaha niaga pelaburan tertentu atau untuk digunakan sebagai cadangan pelaburan kepada individu terkenal.

Beliau berkata masyarakat perlu memahami bahawa kandungan berita palsu yang disebarkan itu itu mungkin dalam bentuk gambar dan ia boleh dikategorikan sama ada mengenai kejadian, fitnah atau berkaitan penyamaran.

Zulkarnain berkata SKMM akan mendakwa mana-mana pihak yang terlibat dalam penyediaan kandungan palsu dan berunsur mengancam mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata tidak semua aduan mengenai berita palsu itu akan didakwa kerana pihak berkuasa menghadapi pelbagai cabaran dalam memerangi ancaman itu.

“(Menangani) berita palsu bukan sekadar mendakwa tertuduh di bawah undang-undang tetapi juga mengambil tindakan pentadbiran kepada platform dan penyedia hos untuk menghapuskan kandungan atau berita palsu itu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :