Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir (tiga, kiri) dan Pengerusi Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) Dato’ Ibrahim Md Yusof (dua, kiri) bersama penerima dividen dan zakat perniagaan dalam majlis ramah mesra bersama rakan strategik Teras pada 14 Jun 2022. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Teras disaran teroka peluang baharu, bantu bangunkan ekonomi asnaf

SHAH ALAM, 14 JUN: Kepimpinan dan pengurusan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) perlu lebih proaktif dalam membantu golongan asnaf mencapai tahap kehidupan selesa, kata Mufti Selangor.

Dato’ Dr Anhar Opir berkata selaku badan induk menjaga kebajikan asnaf, anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (Mais) itu perlu meneroka peluang baharu dalam membantu membangunkan ekonomi golongan tersebut.

“Sepanjang tempoh pengoperasian, Teras telah mencatat pelbagai kejayaan dan sejarah biarpun berhadapan dalam keadaan yang menguji dalam memberi perkhidmatan.

“Namun, seiring dengan objektif penubuhan, kepimpinan Teras pada masa kini perlu mengambil langkah proaktif dalam memacu ekonomi asnaf,” katanya.

Beliau berucap selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra bersama Rakan Strategik Teras dan pelancaran platform pembelian atas talian Teras di Wisma PKPS di sini hari ini.

Terdahulu, buat julung kali Teras mempunyai platform atas talian memasarkan lebih 100 produk terdiri daripada produk usahawan bimbingan agensi itu, industri kecil dan sederhana (IKS) dan produk sedia ada di pasaran.


Pengarang :