EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berucap dalam Sesi Dialog Aspirasi Pembangunan Industri Halal Selangor Bersama SME dan Majlis Iftar Ramadan di Foyer SUK Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) Shah Alam pada 15 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Perluas pendekatan kuliah agama, tidak tumpu masjid dan surau

SHAH ALAM, 19 JULAI:  Kuliah  agama Islam disaran tidak dijalankan di masjid dan surau sahaja sebaliknya diperluas ke pelbagai lokasi dengan konsep yang lebih santai.

EXCO Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata penganjuran majlis ilmu juga wajar  menumpukan kepada isu ketuhanan dan kekuatan mental bagi memastikan umat sentiasa bersangka baik kepada Allah.

“Kerajaan Negeri memandang serius dan bimbang dengan kes penghinaan agama Islam mutakhir ini selain berwaspada  untuk membendung agar tidak merebak dan mengganggu keharmonian rakyat.

“Walaupun belum ada laporan khusus tentang punca timbulnya gejala ini, Kerajaan Negeri cenderung melihat kepada usaha membendung dari sudut menjernihkan kefahaman terhadap Islam, ketuhanan dan amalan,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Zawawi menganggap kes penghinaan agama mungkin berpunca perasaan kecewa dan putus asa segelintir individu apabila berhadapan dengan masalah hidup.

“Situasi ini menyebabkan individu ini berasa tidak dibantu Allah pada saat mereka memerlukan. Oleh itu, kita menyeru ahli keluarga dan rakan sekeliling sentiasa peka dan membantu golongan terbabit ke jalan yang betul.

“Kerajaan Selangor menyeru masyarakat di negeri ini mempraktikkan konsep hidup bersama supaya sentiasa saling hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya.


Pengarang :