Foto Facebook MAT KILAU THE MOVIE
AGENDANASIONAL

Finas dakwa penerbit filem Mat Kilau tidak beri kredit, arah peguam semak perjanjian

SHAH ALAM, 6 JULAI : Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mendakwa penerbit filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan gagal memberi rujukan penghargaan atau kredit kepada agensi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata pihaknya mengarahkan peguam untuk menyemak isu berkenaan kerana ia bercanggah dalam terma perjanjian.

“Penerbit perlu masukkan logo Finas dalam bahan bercetak yang berkaitan filem berkenaan, namun perkara ini gagal dilakukan,” katanya seperti dilapor BH Online.

“Selain itu, kredit yang diberi dalam filem hanya dimasukkan selepas tujuh hari filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan ditayangkan di pawagam. Ini dengan jelas mengingkari perjanjian yang dipersetujui dan dimeterai dua pihak.”

Menurut Md Nasir, Finas menyalurkan Dana Kandungan Digital (DKD) RM1.5 juta sebagai usaha membantu Studio Kembara Sdn Bhd merealisasikan projek berkenaan yang sebelum ini terbengkalai.

“Selain DKD, Finas menyalurkan dana pemasaran RM300,000 dan membenarkan penggunaan studio untuk kerja pasca produksi secara percuma di Studio Mixstage, Kompleks Studio Merdeka bernilai RM180,000,” katanya yang akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu berkenaan, tidak lama lagi.

Filem biografi epik Mat Kilau yang telah mencetuskan fenomena luar biasa berjaya meraih kutipan tiket hampir RM48 juta selepas 11 hari ditayangkan di negara ini, Singapura dan Brunei.

 


Pengarang :