Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyapa warga emas yang sedang memeriksa tekanan darah dalam program Selangor Saring sempena Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jelajah bantuan rakyat di Kuala Selangor esok, tumpu sektor kesihatan

SHAH ALAM, 1 JULAI: Program Jelajah Selangor Penyayang yang akan diadakan di Stadium Utama, Kuala Selangor esok menyediakan banyak inisiatif dan aktiviti untuk rakyat.

Dijadual bermula 8 pagi hingga 5.30 petang, program yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bakal dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dalam acara tersebut, Amirudin dijadual melancarkan Program Kesihatan Selangor meliputi Iltizam Selangor Sihat, Bantuan Sihat Selangor, Skim Rawatan Jantung dan Peduli Sihat Penjawat Awam.

Turut berlangsung ialah penyerahan Notis 5A, penyampaian Anugerah Khas Kampung Berprestasi Tinggi
Negeri Selangor dan Anugerah Kampung Terbaik Daerah Kuala Selangor.

Program juga bakal diserikan dengan persembahan artis terkenal Wany Hasrita dan kumpulan Mr X selain aktiviti senamrobik, pertandingan memasak, gubahan bunga, sukan rakyat, pameran dan jualan.

Inisiatif itu dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta, menggantikan IPR supaya lebih ramai memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Sebelum ini, acara sama yang berlangsung di Taman Kosas, Ampang Jaya pada 19 Jun dan Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun mendapat sambutan menggalakkan.

Program di Dataran Boulevard, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya pula dijadualkan semula kepada 23 Julai seterusnya di Padang Awam Batu Caves, Gombak (31 Julai).

 

 


Pengarang :