Orang ramai mendapatkan barangan asas melalui karnival Jualan Ehsan anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sempena Aidiladha di Jalan Kantan 2, Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada 6 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah PKPS ringan beban rakyat terjejas kenaikan harga barang

HULU SELANGOR – Pengunjung mengakui jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor banyak membantu mereka yang masih terkesan akibat Covid-19 dan kenaikan harga barangan di pasaran.

Pengawal keselamatan Irwan Mohamad, 45, berkata kenaikan beberapa barangan termasuk ayam di pasaran membuatnya berfikir berulang kali untuk membeli.

Namun, beliau teruja dapat berjimat dalam membuat persiapan Aidiladha ketika berbelanja di Jualan Karnival Ehsan di Jalan Kantan 2, Bukit Beruntung di sini, hari ini.

“Alhamdulillah nasib baik sempat beli dua ekor ayam tadi cuma terkilan sedikit sebab minyak masak paket sudah habis.

“Di sini memang jimat. Ayam RM15 seekor, kalau di luar dengan saiz sama cecah RM27 seekor,” katanya.

Suri rumah Vickneswari, 45, lega jualan murah berkenaan membolehkannya berbelanja lebih dengan harga yang murah.

“Sekarang ini terpaksa berjimat. Jika dulu belanja RM100 dapat beli pelbagai jenis barangan, kini dengan jumlah barangan yang sama perlu bayar RM200.

“Lega juga bila ada program jualan murah seperti hari ini,” katanya.

Peniaga nasi lemak Muhammad Taufiq Gan, 51, pula berkata jualan murah seperti ini membantu golongan sepertinya menjual dengan harga berpatutan dan terus bertahan.

“Saya masih mengekalkan harga dengan kuantiti sama seperti sebelum ini bagi membantu orang ramai khususnya pekerja kilang dan pemandu lori yang juga terjejas,” katanya.


Pengarang :