Pelakon Shahili Abdan atau lebih dikenali dengan Namron ketika diwawancara Media Selangor di kediamannya di Bandar Seri Damansara, Petaling Jaya pada 17 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Nam Ron salah teka, filem Mat Kilau jauh lebih laris

SHAH ALAM, 4 JULAI: Jangkaan pelakon Nam Ron berhubung filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan mampu meraih RM50 juta setelah tamat tayangan meleset apabila naskhah yang sedang meledak di pawagam itu mengaut jualan tiket RM47 juta selepas 11 hari tayangan.

Menerusi Facebook, pengarah filem One Two Jaga itu yakin karya inspirasi sejarah ketokohan pejuang di Pahang arahan Syamsul Yusof bakal memecah rekod sebagai filem paling laris.

“Tekaan saya, Mat Kilau akan kutip RM50 juta setelah tamat tayangan nampaknya jauh meleset kerana baru 11 hari ditayangkan sudah cecah RM47 juta.

“Tahniah untuk keseluruhan pasukan Mat Kilau dan teraju utamanya Syamsul Yusof. Awak layak menerimanya. MashaAllah,” tulisnya hari ini.

Sebelum ini, Syamsul menerusi Instagram meluahkan rasa syukur atas kejayaan filem itu dan berterima kasih kepada semua penonton di Malaysia, Singapura dan Brunei.

“Mat Kilau adalah filem terpantas mencecah RM47 juta hanya dalam 11 hari. Bakal mengatasi rekod pecah panggung Munafik 2 (RM48 juta). Hilang kata…limpah kurnia dari-Nya. Alhamdulillah terima kasih semuanya. Majulah filem untuk bangsa dan negara,” katanya.

Menelan belanja RM8 juta, filem Mat Kilau menampilkan Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As’ari, Wan Hanafi Su, Yayan Ruhian dan ramai lagi.

Dipenuhi dengan aksi persilatan, filem itu mengetengahkan perjuangan Mat Kilau menentang penjajah British pada tahun 1880-an.

Foto Facebook MAT KILAU THE MOVIE

Pengarang :