Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pada majlis pelancaran buku biografi Tan Sri Lee Lam Thye di Hotel Concorde, Kuala Lumpur pada 16 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan: Sebaran fitnah, budaya serang peribadi boleh gugat keharmonian

SHAH ALAM, 4 JULAI: Penyebaran berita fitnah dan budaya menyerang perilaku peribadi individu yang semakin berleluasa boleh menggugat keharmonian masyarakat negara ini.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pengkhianatan dan kebencian secara terbuka juga seolah-olah bagaikan satu budaya.

Baginda menegaskan fitnah mendatangkan dosa besar dan kemurkaan Allah, malah Islam sendiri
menggalakkan manusia berdamai, bersatu-padu dan melarang umatnya berpecah serta bermusuhan.

“Oleh itu, Beta mengajak semua pemimpin politik dan rakyat negara ini kepada kebaikan dan mengamalkan budaya sihat berpandukan sikap toleransi dan berprasangka baik bagi mencapai aspirasi perpaduan hidup bersama demi kemakmuran negara.

“Beta menyeru agar kita bersama-sama membangunkan masyarakat yang gagah, bebas dari rasuah, bermaruah, harmoni dan berwibawa dengan menghormati nilai-nilai perpaduan kemanusiaan sejagat,” titah Baginda dalam kenyataan hari ini.

Baginda bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin sebelum itu berkenan menonton filem Mat Kilau yang memaparkan bagaimana perpecahan kaum boleh mengakibatkan pihak luar mudah menguasai negara.

Titah Baginda, karya tersebut juga bertepatan mesej bahawa kekuatan sesuatu bangsa terletak pada semangat perpaduan dan pegangan agama Islam yang utuh.

 


Pengarang :