Sebahagian mangsa banjir yang hadir ketika majlis penyerahan sumbangan menerusi Misi Selangor Penyayang 2.0 di Surau An Nur Taman Mesra Kupang, Baling, Kedah pada 21 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pelajar mangsa banjir perlu buku, bantuan peralatan sekolah

BALING, 22 JULAI: Pelajar mangsa banjir di sini memerlukan bantuan peralatan persekolahan khususnya buku selepas ia dihanyutkan banjir awal bulan ini.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata ramai ibu bapa mengeluh berikutan anak mereka belum menerima bantuan itu dan bimbang jika tercicir dalam pelajaran.

“Kita dapati ada ibu bapa yang mengeluh sebab anak mereka belum dapat buku sekolah. Saya harap bahagian terlibat segera beri bantuan itu.

“Banjir memberi kesan kepada semua mangsa, memang peralatan seperti tempat tidur dan perkakas masak penting ketika ini tetapi pendidikan anak-anak tidak boleh diabaikan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan Misi Selangor Penyayang (MSP) 2.0 kepada 163 penduduk terkesan bah di Surau An Nur Taman Mesra Kupang di sini semalam.

Sumbangan wang tunai RM100, tilam, selimut dan keperluan kanak-kanak turut disampaikan EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah.

Sementara itu, Rodziah berkata bantuan tersebut sebagai tanda prihatin terhadap mangsa yang kehilangan banyak harta benda ekoran insiden terbabit.

“Walaupun tidak seberapa namun kita amat memahami perasaan mangsa apabila terlibat dalam musibah yang tidak disangka-sangka.

“Insya-Allah, kita akan meneruskan lagi MSP kepada mangsa di tempat lain, tetapi diharap tiada lagi musibah berlaku di negara ini,” katanya lagi.

Pada 6 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan konvoi MSP 1.0 di dataran pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri ke Baling.

Pasukan yang disertai 189 anggota PBT dan 20 Sukarelawan Selangor (SERVE) berjaya membersihkan 72 rumah sepanjang dua hari misi bantuan.

Hujan lebat hampir tiga jam di Baling pada 4 Julai lalu menyebabkan paras air Sungai Kupang melimpah mengakibatkan tiga sekeluarga termasuk wanita hamil maut.


Pengarang :