Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim (empat, kiri) menyampaikan sumbangan kepada Penghulu Kampung Sadek dan Kampung Seberang Jaya Abdul Rahman Che Dol (dua, kanan) ketika bantuan Misi Selangor Penyayang 2.0 di Masjid Kampung Sadek, Baling, Kedah pada 21 Julai 2022. Turut serta EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman (tiga, kiri). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor sedia bantu negeri lain, laksana tanggungjawab sosial kepada masyarakat

BALING, 22 JULAI: Misi Selangor Penyayang (MSP) 2.0 membabitkan sumbangan RM100,000 kepada mangsa banjir di Baling, Kedah adalah tanggungjawab sosial korporat Kerajaan Selangor kepada masyarakat.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata Selangor sedia membantu mana-mana kawasan atau komuniti terjejas selagi berkemampuan.

“Bila Baling banjir, Dato’ Menteri Besar antara yang awal memberi maklum EXCO Pembangunan Generasi Muda balas. Macam Kelantan (2014), Dato’ Seri Amirudin Shari prihatin. Sebelum ini juga pada Julai tahun lalu, kita beri bantuan ke Yan, Kedah.

“Ini sebagai bantuan keluarga dan kemanusiaan. Selangor akan terus membantu mana-mana penduduk selagi berkemampuan,” katanya ditemui pada majlis penyerahan di sini semalam.

Penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Selangor Dato’ Haris Kasim kepada Pegawai Daerah dan Tanah (PDT) Baling Mohd Shahadan Abdullah.

Ia membabitkan bantuan RM30,000 kepada PDT, pemberian wang tunai untuk 400 ketua isi rumah serta kit kebersihan bagi membantu meringankan beban selepas berdepan kejadian bah.

Misi kali kedua itu turut disertai 150 anggota Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) dari 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), Sukarelawan Selangor dan Team Selangor.

Misi pertama pada 6 Julai disertai 262 anggota PBT dan sukarelawan membantu membersihkan puluhan kediaman mangsa banjir dengan 90 tan sampah pukal dikeluarkan dari kawasan tersebut.

Pada 4 Julai lalu hujan lebat hampir tiga jam di Baling menyebabkan paras air Sungai Kupang melimpah memasuki kediaman penduduk berdekatan dan mengorbankan tiga mangsa.


Pengarang :