Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

Penganggur tikam ibu hingga mati direman seminggu

SHAH ALAM, 6 JULAI: Seorang penganggur yang disyaki menikam leher ibunya hingga mati di Kampung Paya Luboh, Melaka semalam direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 38 tahun dikeluarkan Majistret Mazana Sinin selepas permohonan dikemukakan polis bagi membantu siasatan, lapor Berita Harian.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang semalam, anak sulung daripada lima beradik itu ditahan polis dengan bantuan penduduk kampung di pekarangan rumah selepas adiknya menjerit meminta tolong.

Media sebelum ini melaporkan mangsa, Rozizah Md Dom, 63, yang juga pesara guru, ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di bilik tidur oleh anak perempuannya.

Menurut Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah, suspek mendakwa menikam ibunya selepas mendengar bisikan yang menyuruhnya berbuat demikian kerana mangsa kononnya menyembah berhala.

Suspek dilaporkan mendapat rawatan psikiatri di Hospital Melaka sejak empat tahun lalu dan mempunyai dua rekod berkaitan dadah sebelum ini.


Pengarang :