Petugas kesihatan mengambil darah peserta progam Selangor Saring di Hotel Grand Sabak, Sabak Bernam pada 28 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Perkasa sektor kesihatan, perluas skop program Iltizam Selangor Sihat

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kerajaan Negeri memperkasa sektor kesihatan dengan memperluas skop program Iltizam Selangor Sihat (ISS) menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Dato’ Menteri Besar berkata sebagai satu-satunya negeri yang mempunyai pelan kesihatan awam yang menyeluruh, Kerajaan Selangor turut bercadang menambah jumlah peserta.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, ISS adalah skim insurans kesihatan untuk golongan berpendapatan rendah bagi membantu mereka mengurangkan beban kos penjagaan kesihatan di pusat penjagaan kesihatan swasta.

“Skim ini menawarkan perlindungan sebanyak RM500 setahun untuk pemegang polisi kategori keluarga dan RM200 setahun untuk pemegang polisi kategori individu bujang.

“Dengan meluaskan skop perlindungan dan menambah jumlah peserta, Kerajaan Negeri yakin program ini akan membantu golongan memerlukan menerima perlindungan kesihatan yang baik,” katanya ketika membentang rancangan itu dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Pada 2 Julai lalu, Amirudin memperkenal ISS yang merupakan program perlindungan kesihatan dan dijangka memberi manfaat seramai 100,000 penduduk negeri ini.

Menerusi skim berkenaan penerima bakal mendapat bantuan rawatan asas sehingga RM500, perlindungan insurans sehingga RM5,000 serta khairat kematian RM1,000.

Selain rawatan dan perubatan, Kerajaan Negeri turut menawarkan vaksinasi bagi memastikan lebih ramai rakyat Selangor mendapat perlindungan sebaiknya.


Pengarang :