Orang ramai menyerbu jualan murah barangan asas ketika Karnival Jualan Ehsan sempena Aidiladha anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di tapak bazar Ramadan Taman Perwira, Sijangkang, Kuala Langat pada 5 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKPS perbanyak pengeluaran produk pastikan bekalan makanan cukup

KUALA LANGAT, 5 JULAI: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memperbanyakkan pengeluaran produk bagi menjamin kelangsungan bekalan makanan asas di negeri ini.

Menurut pengurus kanan pemasarannya, inisiatif dengan kerjasama syarikat pengeluar ayam, daging dan minyak masak membantu rakyat yang kini terbeban dengan kenaikan harga barangan di pasaran.

“Kita memiliki ladang ayam, lembu dan kelapa sawit, jadi tindakan proaktif diambil dengan mengeluarkan produk asas sendiri berikutan harga barangan semakin naik.

“Sebab itu kita bekerjasama dengan syarikat pengeluar dan mereka boleh bekalkan terus produk kepada PKPS. Paling penting ia tidak akan melibatkan orang tengah,” kata Md Fazir Abdul Latif hari ini.

Ditemui pada Karnival Jualan Ehsan sempena Aidiladha di Taman Perwira, Sijangkang di sini, beliau berkata rakyat Selangor tidak perlu bimbang kerana produk dihasilkan akan dipasarkan lebih murah melalui Program Intervensi Ehsan.

“Insya-Allah, tiada apa perlu dirisaukan kerana kita masih ada bekalan dan kerjasama strategik dengan pihak berkaitan sentiasa berterusan,” katanya.

Sejak Disember tahun lalu, PKPS menjalankan program jualan murah barangan asas di 64 lokasi seluruh negeri bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Selain telur dan ayam, produk lain dijual termasuk daging pejal segar berharga RM35 per kilogram, ikan kembung atau selayang (RM8 per pek) dan minyak masak.

Pada 19 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program tersebut berjaya memanfaatkan seramai 60,000 keluarga di negeri ini.


Pengarang :