Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings, Datin Paduka Norazlina Zakaria ketika menghadiri Forum Rancangan Selangor Pertama (Kelestarian) 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Projek jana tenaga teknologi hijau atasi masalah pembebasan karbon menjelang 2025

SHAH ALAM, 7 JULAI : Selangor bakal memiliki projek ‘Waste to Energy’ (WTE) terbesar, berteknologi hijau dan moden di Malaysia menjelang tahun 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) berkata projek itu akan dibina serentak awal tahun depan di dua lokasi iaitu di Jeram dan Tanjung 12, Jenjarom.

“Tapak pelupusan sedia ada ini hanya mampu bertahan selama empat tahun, oleh itu kita perlu mempercepatkan pembinaan projek ‘Waste to Energy’.

“Projek baharu ini juga memiliki kapasiti memproses 4,800 hingga 6,000 tan sisa sehari dari tapak pelupusan sampah, iaitu 80 peratus daripada sisa yang diterima,” kata Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Beliau berkata demikian dalam Forum (Kelestarian) pada Simposium Prapelancaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam di sini hari ini.

Menurut Norazlina pelaksanaan projek WTE juga selaras matlamat kerajaan untuk mencapai kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 20 peratus menjelang 2025.

“Menerusi projek ini juga kita yakin ia mampu mengurangkan pembebasan karbon di Selangor,” katanya.

Empat tema utama menjadi panduan dalam RS-1 bagi menjayakan agenda Selangor muncul sebagai negeri pintar, berdaya huni dan makmur menjelang 2025.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata empat tema utama berkenaan merangkumi ekonomi, sosial, kelestarian dan tadbir urus.


Pengarang :