Dr Siti Mariah Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) Siti Kamariah Ahmad Subki (kanan) melancarkan talian khas aduan keganasan rumah tangga SELamat di Perbadanan Perpustakan Awam Selangor (PPAS), Shah Alam pada 22 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKIN
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Talian SELamat: Aduan kes ‘dera’ ekonomi meningkat susulan kenaikan harga barang 

SHAH ALAM, 13 JULAI: Sebanyak 12 peratus daripada 80 panggilan diterima melalui talian SELamat sejak November sehingga Jumaat lalu membabitkan kes penderaan atau pengabaian ekonomi.

Ketua pegawai eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) menjelaskan aduan berhubung kes itu meningkat susulan kesan kenaikan kos sara hidup dan barang sejak kebelakangan ini.

“Kita banyak terima kes sebegini berbanding penderaan fizikal disebabkan ada keluarga terkesan (dengan kenaikan kos sara hidup) sehingga suami meninggalkan isteri dan anak tanpa khabar berita

“Apabila keluarga ini ditinggalkan tanpa nafkah, ia dipanggil penderaan dalam bentuk ekonomi,” kata Siti Kamariah Ahmad Subki kepada Selangorkini.

Sementara itu, beliau memaklumkan kebanyakan panggilan diterima daripada wanita miskin bandar berusia lingkungan 44 hingga 55 tahun, namun ada juga kanak-kanak sembilan tahun.

Menurutnya, kes terbabit akan dirujuk kepada penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) kawasan, wakil rakyat setempat dan pusat khidmat masyarakat.

“Bantuan makanan asas akan segera disalurkan, jika mereka adalah ibu tunggal kita boleh pertimbangkan untuk inisiatif Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

“Tetapi masalahnya wanita yang didera (ekonomi) bukan ibu tunggal sebaliknya ibu tinggal dan masih berstatus kahwin,” katanya lagi.

Golongan yang memerlukan bantuan atau mengenali mereka yang perlu dibantu boleh menghubungi talian SELamat di 03-64195027.

Pada 9 Jun 2021, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana sejumlah RM100,000 untuk membangunkan talian khas tersebut, sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0.

Talian berkenaan yang beroperasi 24 jam dikendalikan kakitangan WBS bersama kumpulan sukarelawan.


Pengarang :