Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli (dua, kiri) menyampaikan tawaran biasiswa kepada Rosmayana Abu Rahim (kanan) dalam Majlis Penyampaian Biasiswa Wanita Berdaya Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 12 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tujuh penerima biasiswa khas wanita cemerlang dalam peperiksaan

SHAH ALAM, 13 JULAI: Seramai tujuh daripada 12 penerima Biasiswa Wanita Berdaya Selangor (WBS) kohort pertama berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Siti Kamariah Ahmad Subki berkata pelajar terbabit menunjukkan prestasi sangat baik dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.50 ke atas.

Katanya, 10 daripada penerima pembiayaan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PPSH) menyambung pengajian di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) manakala selebihnya ijazah sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Tahniah diucapkan atas kesungguhan dan komitmen pelajar kerana menggunakan peluang ini sebaiknya. Mereka aset bernilai Kerajaan Negeri, diharap mereka bakal menjadi penyumbang besar serta dapat berbakti kepada masyarakat.

“Saya percaya sekiranya mereka yang layak diberi peluang akan berjaya dengan kapasiti masing-masing,” katanya dalam ucapan sempena majlis penyampaian Biasiswa WBS kohort dua semalam.

Penyerahan biasiswa disempurnakan Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli yang mewakili Dato’ Seri Amirudin Shari di Pusat Konvensyen Shah Alam dekat sini.

Sementara itu, Siti Kamariah berkata seramai 13 daripada kira-kira 300 pemohon layak mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di pelbagai peringkat tahun ini selepas melalui beberapa saringan dan temu duga.

“Kesemua yang terpilih diharap mengikuti pengajian bersungguh-sungguh. Kita akan sentiasa memantau prestasi akademik setiap penerima dan mengambil serius mandat diberikan untuk mengurus dana ini,” katanya lagi.

Dilancar tahun lalu, Biasiswa WBS adalah inisiatif Kerajaan Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga, manakala WBS sebagai agensi pelaksana PPSH dengan kerjasama OUM.

PPSH bermatlamat menyediakan wanita berilmu pengetahuan dan berkompetensi tinggi menerusi pendidikan berterusan.


Pengarang :