Seramai 600 peserta yang terdiri daripada pelajar dari 24 sekolah di Selangor mengambil bahagian dalam perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 menjalankan latihan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam ketika tinjauan baru-baru ini. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

600 pelajar dari Selangor terlibat persembahan Hari Kebangsaan

SHAH ALAM, 12 OGOS: Setelah dua tahun tidak menyaksikan persembahan warna-warni di atas padang seperti lazimnya pada Hari Kebangsaan disebabkan pandemik Covid-19, rakyat Malaysia kali ini berpeluang menikmati kemeriahan pelbagai acara seperti itu pada 31 Ogos di Dataran Merdeka.

Satu daripada acara berkenaan ialah persembahan pelbagai formasi menggunakan bendera oleh 600 pelajar dari 24 sekolah di sekitar negeri Selangor.

Pelajar berkenaan akan memulakan persembahan mereka dengan membentuk logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 berkonsepkan jalur liputan internet serta akan turut melakukan gerakan pantas dan pelbagai formasi mengibarkan bendera.

Formasi berkenaan akan diiringi lagu-lagu antaranya Derap Komando oleh Search dan Seiring Sejalan yang dinyanyikan oleh Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Broery Marantika dengan gubahan tempo lagu yang dilajukan kepada 160 bit per minit (bpm).

Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Selangor (JPNS) Yasmin Kamarudin berkata persembahan bendera itu boleh dianggap antara pertunjukan utama pada 31 Ogos kelak dan pengunjung bakal dihidangkan dengan kibaran bendera secara tangkas diiringi lagu-lagu rancak.

“Pelajar-pelajar ini akan melakukan empat jenis segmen gerakan antaranya gerakan logo, formasi gerakan bendera diiringi lagu-lagu lama dan baharu yang digubah khas oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan persembahan masa sekitar tujuh minit.

“Mereka ini akan membuat persembahan dengan memakai kostum khas bertemakan Jalur Gemilang serta dipecahkan kepada dua kumpulan dengan 300 daripadanya akan membawa bendera kecil manakala selebihnya akan melakukan persembahan ‘colourguard’ menggunakan saiz bendera lebih besar,” katanya kepada Bernama.

Yasmin berkata JPNS telah diberi tanggungjawab melakukan persembahan padang seumpama itu sejak 2014 dengan jumlah penyertaan pelajar tahun-tahun sebelum ini mencecah ribuan orang, namun dikurangkan kepada 600 pelajar tahun ini.

“Sebenarnya lagi ramai pelajar, lagi cantik persembahan, seakan-akan kesan domino dihasilkan. Namun kita sedia maklum dengan keadaan penularan Covid-19 sekarang, maka ia dikurangkan kepada 600 pelajar yang terpilih dengan kesemua mereka ini sudah kita tengok dan nilai khususnya dari segi kesihatan.

“Bagi saya tugasan ini sedikit sukar sebab perlu melakukan pelbagai jenis gerakan tarian lincah, formasi bendera yang pelbagai arah dan laju serta perlu dilaksanakan secara serentak dan seragam.

“Mereka ini baru sahaja memulakan latihan 18 Julai lepas, namun kebanyakannya sudah menguasai rentak pergerakan dan penggunaan peralatan,” katanya.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sebelum ini memaklumkan tiga aktiviti utama akan diadakan bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini merangkumi pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 30 Julai di Putrajaya, sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Melaka.

-BERNAMA


Pengarang :