Bantuan alternatif melalui lori tangki mula digerakkan kepada pengguna dengan keutamaan untuk premis kritikal susulan henti tugas LRA Langat 2 pada 11 Ogos 2022. Foto Facebook Air Selangor
AGENDANASIONAL

Pemulihan bekalan lebih 95 peratus, wilayah Petaling pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 12 OGOS: Pemulihan bekalan air di beberapa wilayah terjejas susulan henti tugas Loji Rawatan air (LRA) Langat 2 semalam mencapai lebih 95 peratus setakat 9 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan wilayah Petaling pulih 100 peratus, Hulu Langat (98 peratus) dan Kuala Lumpur (91 peratus).

Syarikat pembekal air itu turut menjangka bekalan air di semua 397 kawasan yang terkesan dengan insiden itu pulih sepenuhnya 8 malam ini.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” maklumnya di Facebook hari ini.

LRA Langat 2 dihenti tugas sementara berikutan kebimbangan pencemaran bahan kimia di Sungai Semantan, Pahang susulan kemalangan di KM75.9 Lebuhraya Karak-Bentong menuju Kuala Lumpur kelmarin.

Berikutan itu, bantuan air alternatif menggunakan lori tangki digerakkan kepada pengguna terutama di premis kritikal bagi meminimumkan kesan gangguan bekalan.

Bagaimanapun, siasatan dijalankan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati tiada sisa bahan kimia dikesan di kawasan sungai.

Semalam, EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata LUAS meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa bersama pihak berkaitan bagi memastikan sumber air terpelihara.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com


Pengarang :