Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Kongres Nasional ke-16 KEADILAN di Ideal Convention Centre, Shah Alam pada 16 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar gesa pimpinan KEADILAN terus perjuang isu rakyat

SHAH ALAM, 16 OGOS: Barisan pimpinan dan ahli Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diingatkan untuk terus bergerak dalam jemaah bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggesa seluruh pimpinan untuk terus bekerja keras memperjuangkan isu rakyat.

“Elit pimpinan negara kian tertekan dengan penggeledahan dan pembongkaran isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Para pejuang perlu tingkatkan ikhtiar dan waspada terhadap segala muslihat musuh yang kelihatan gelabah dan terdesak,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menerusi kenyataan sama, Anwar turut menjelaskan pelantikan timbalan dan naib presiden kEADILAN sebagai pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dibuat atas dasar strategi dan taktikal bagi menghadapi cabaran getir PRU15.

“Saya memilih melantik timbalan presiden dan naib presiden untuk mengetuai pasukan negeri menghadapi PRU15. Sabah dan Sarawak terkecuali kerana pengerusi negeri dipilih majoriti Ketua Cabang.

“Saya juga telah melantik pengarah dan pengerusi biro yang terdiri daripada barisan pelapis dan kalangan muda bagi menggalas tanggungjawab meneruskan agenda reformasi dan membela nasib rakyat,” katanya.


Pengarang :