Dokumen persefahaman antara KUIS dengan wakil TalentCorp. Foto Facebook Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
AGENSISELANGOR

Kerjasama KUIS-TalentCorp buka peluang pelajar jalani praktikal di luar negara

SHAH ALAM, 1 OGOS: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Talent Corporation (M) Berhad (TalentCorp) yang memberi peluang kepada pelajar menjalani latihan industri di luar negara.

Dokumen persefahaman itu ditandatangani Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Komuniti & Industri KUIS Profesor Madya Dr Mokmin Basri manakala TalentCorp diwakili oleh Naib Presiden Graduasi, Diaspora dan Kerjasama Industri, Mohamad Nazrul Aziz.

Pelajar dan kakitangan KUIS yang hadir pada Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Talent Corporation (M) Berhad (TalentCorp). Foto Facebook Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

Dr Mokmin berkata menerusi perjanjian itu, pihaknya berharap agar aktiviti mobiliti, latihan industri serta penyelidikan akan lebih giat dijalankan.

Tambah beliau, MoU itu juga mampu mewujudkan lebih banyak kerjasama termasuk program Young Employable Student (YES!) yang bermula hari ini sehingga 3 Ogos.

“Saya yakin, penganjuran program YES! ini akan memberi banyak ilmu pengetahuan dan pendedahan kepada pelajar KUIS sebelum mereka keluar menjalani latihan industri.

“Pendedahan awal begini mampu membuka minda dan cara mereka berfikir sebelum menjalani praktikal di mana-mana lapangan kelak,” katanya dalam kenyataan di Facebook.


Pengarang :