Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada 28 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

ADN: RUU antilompat parti langkah tepat, pelihara amanah rakyat

SHAH ALAM, 1 OGOS: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan mengenai larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti disifatkan sebagai tindakan tepat dalam memastikan ahli politik tidak sewenang-wenangnya berbuat demikian atas kepentingan peribadi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berkata kelulusan itu adalah perkembangan positif dalam era politik demi mempertahankan kestabilan negara selain memelihara amanah rakyat.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli

“Tindakan ahli politik yang melompat parti ini menjejaskan kepercayaan rakyat kepada kerajaan dan parti. Apabila Parlimen meluluskan pindaan ini sudah pasti melegakan rakyat sekali gus mencegah pengkhianatan kepercayaan.

“Pindaan telah diluluskan dan sudah tiba masanya rakyat menjalankan tanggungjawab turun mengundi. Undian mereka penting bagi memastikan negara tidak diberikan kepada individu tidak bertanggungjawab yang akan merugikan mereka,” katanya ketika ditemui di Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Sementara itu, ADN Pandan Indah Ir Izham Hashim berkata kelulusan pindaan ini membolehkan wakil rakyat lebih bertanggungjawab menggalas mandat yang diberikan.

Ahli Dewan Negeri Pandan Indah Ir Izham Hashim

“Apabila bertanding, mereka mewakili parti telah berjanji kepada rakyat. Selain personaliti, rakyat memilih mereka kerana janji dalam membantu membangunkan kawasan tersebut.

“Namun, apabila menang dan lompat parti ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab kerana mengingkari mandar diberikan. Kita kena jaga kepercayaan rakyat pada sistem demokrasi terutama pada pilihan raya nanti,” katanya.

Bagi ADN Banting Lau Weng San pula, beliau gembira apabila RUU itu diluluskan kerana isu lompat parti bukan perkara baharu dalam sejarah politik negara.

Ahli Dewan Negeri Banting Lau Weng San

“Lompat parti tidak bagus untuk parti dan negara dan perlu dikuatkuasa secepat mungkin supaya undang-undang ini sah sebelum pembubaran.

“Namun, pindaan ini perlu sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa dan perlu diubah mengikut perubahan,” katanya.

Pada 28 Julai, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti, dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga..

Undi belah bahagian menyaksikan seramai 209 ahli Parlimen menyokong, tiada yang membangkang dan 11 tidak hadir.

 


Pengarang :