EXCO Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni menunjukkan aplikasi Whoscall di telefon bimbitnya ketika diwawancara Media Selangor di pejabatnya di Bangunan SUK, Shah Alam pada 24 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Lebih 4,000 kes penipuan siber antara Januari hingga Julai

SHAH ALAM, 24 OGOS: Sebanyak 4,608 kes jenayah siber dilaporkan di Selangor sepanjang Januari hingga Julai tahun ini, kata EXCO pengguna dan industri halal.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata aktiviti penipuan itu membabitkan nilai kerugian yang tinggi dan perlu dibendung ekoran memberi kesan negatif kepada kitaran ekonomi.

“Paling banyak adalah penipuan panggilan yang menyamar dari agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen dan Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi memperdaya mangsa memindah duit dari akaun.

“Kedua adalah penipuan urusan jual beli. Contohnya mangsa tidak dapat barangan yang sama dengan apa yang ditawarkan di laman web. Contohnya pakaian, bila barang sampai kualiti produk tidak sama,” katanya kepada Selangorkini hari ini.

Justeru Mohd Zawawi meminta mangsa tampil membuat laporan supaya pihak yang mengambil kesempatan ini tidak dapat meneruskan penipuan mereka.

“Jika lebih ramai menjadi mangsa, sektor ekonomi akan terkesan. Pengguna tidak lagi percaya untuk melakukan jual beli secara dalam talian,” katanya.

Awal bulan ini, timbalan pengarah (siasatan jenayah siber dan multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial memaklumkan sebanyak 11,367 kes jenayah siber direkodkan sepanjang Januari hingga Julai.

Jelas SAC Victor Sanjos, trend jenayah itu dari 2016 hingga Julai 2022 menunjukkan peningkatan daripada 39 peratus kepada 61 peratus.


Pengarang :