Majlis serahan sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada wakil Sekolah Agama Menengah (SAM) Sultan Hisamuddin pada 5 Ogos 2022. Foto Facebook LZS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS serah hampir RM100,000 bantu tambah baik asrama sekolah terbakar

SHAH ALAM, 5 OGOS: Sekolah Agama Menengah (SAM) Sultan Hisamuddin di Sungai Bertih menerima bantuan berjumlah RM99,572 bagi penambahbaikan asrama yang terbakar pada April lalu.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan serahan sumbangan tersebut adalah untuk pembelian perabot pascabencana.

“Majlis serahan simbolik sumbangan bantuan pembelian perabot asrama SAM Sultan Hisamuddin berjumlah RM99,572.00,” tulisnya di Facebook.

Majlis serahan sumbangan dihadiri Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) (Operasi) Salwana Ahmad Dahlan dan Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS Mohd Yusmizan Yusuf.

Pada 24 April, sekitar jam 9.30 malam tingkat tiga asrama lelaki di SAM Sultan Hisamuddin terbakar sehingga memusnahkan 70 peratus asrama itu.

Difahamkan, ketika kebakaran semua pelajar terbabit sedang menunaikan solat tarawih di surau.


Pengarang :