Ilustrasi tekanan mental yang dialami seorang lelaki. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Manfaat kemudahan program SEHAT, tangani buli siber

SHAH ALAM, 12 OGOS: Kerajaan Negeri memandang serius berhubung kes buli siber yang dilihat semakin meningkat sejak kebelakangan ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Justeru, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program Selangor Mental Sihat (SEHAT) dirangka bagi membantu masyarakat mengesan awal tahap kesihatan mental individu termasuk mangsa terbabit.

“SEHAT membantu rakyat Selangor mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri sebagai langkah pencegahan awal.

“Bantuan psikososial daripada kaunselor profesional dan forum sokongan ditawarkan menerusi pelbagai komponen,” katanya di Facebook.

Amirudin turut meminta masyarakat memanfaatkan kemudahan SEHAT menerusi butang khas di skrin utama aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Selangor membelanjakan RM1 juta demi membantu mereka yang mengalami tekanan perasaan dan isu berkaitan. Namun, isu ini memerlukan penglibatan semua pihak, hentikan amalan pembulian dalam masyarakat kita,” ujarnya.

SEHAT boleh diakses menerusi butang khas di skrin utama dalam aplikasi SELangkah. Antara fungsi boleh diteroka pengguna ialah saringan kesihatan mental, saringan risiko, video psikopendidikan, portal WhatsDoc dan skala literasi kesihatan mental.

Baru-baru ini tular berita kematian Shashikala Nagarajah yang meninggal dunia selepas menerima komen kebencian di akaun TikTok.

Shashikala ,44, dilaporkan ‘dibuli secara siber’ berhubung penampilan dan koleksi beg tangannya di media sosial.


Pengarang :