Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor
AGENDANASIONAL

MBI: Hampir 3,000 mohon insentif haji, 2,200 sudah terima sumbangan

SEPANG, 31 OGOS: Sebanyak 2,800 permohonan insentif Haji Muassasah diterima daripada jemaah seluruh negeri setakat semalam, kata Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Ahmad Azri Zainal Nor berkata sebanyak 2,200 pemohon sudah menerima wang sumbangan dan bakinya dijangka selesai sepenuhnya pada pertengahan September.

“Jumlah pemohonan yang diterima setakat ini menghampiri sasaran 3,000 pemohon.

“Buat masa ini, kita menunggu pejabat wakil rakyat untuk menghantar borang permohonan dalam minggu depan sebelum memprosesnya,” katanya hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan program pengupayaan bagi meningkatkan prestasi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana di Dewan Komuniti Putra Perdana di sini.

Insentif Haji Muassasah Selangor yang tertangguh dua tahun akibat Covid-19 diteruskan tahun ini dengan peruntukan RM1.5 juta sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan Kerajaan Negeri kepada rakyat yang bakal menunaikan haji.

Dibuka bermula 23 Mei, penerima yang layak akan menerima tunai RM500 dan kit cenderahati mengandungi beg, cecair nyahkuman, losyen, pelembap bibir, tuala muka dan tisu basah.

Antara syarat permohonan mestilah warganegara Malaysia, tawaran menunaikan haji pada tahun ini dan beralamat di Selangor atau mendaftar di mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji.


Pengarang :