Pasukan berbasikal Selangor giat menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ketika tinjauan di Taman Seri Pekan Kapar, Klang pada 4 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MSN: Persediaan venue SUKMA cecah 95 peratus

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Persediaan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 MSN 2022 berada pada landasan tepat apabila 95 peratus venue sudah bersiap sedia untuk menganjurkan temasya itu bermula 16 hingga 24 September depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN) Suhardi Alias berkata pada masa ini hanya tinggal sedikit kerja penambahbaikan yang perlu diselesaikan menjelang 27 hari sebelum temasya itu membuka tirai.

“Hanya beberapa kerja menaik taraf dan penambahbaikan dari sudut hiasan yang perlu dibuat, itu pun tidak melibatkan banyak venue. Selainnya kita bersedia selepas mendapat kerjasama daripada kementerian lain dan pihak berkuasa tempatan.

“Kebanyakan venue dimiliki MSN sendiri dan kerajaan negeri, jadi tidak melibatkan banyak perbelanjaan. Kita nak pastikan SUKMA ini dapat dilaksanakan dengan perbelanjaan minimum, jadi ini akan meningkatkan minat negeri untuk menganjurkan SUKMA,” katanya ketika ditemui pada majlis undian sukan berpasukan Sukma di MSN hari ini.

Kebanyakan venue bagi edisi ke-20 SUKMA melibatkan empat zon sekitar Lembah Klang – Kuala Lumpur, Bangi (termasuk Nilai dan Putrajaya), Bukit Jalil dan Shah Alam – manakala hanya pelayaran dianjurkan di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi.

Menurut jadual semasa, majlis perasmian pembukaan dan penutup akan diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi masing-masing pada 17 dan 24 September. – BERNAMA


Pengarang :