AGENDANASIONAL

Pakar: Keluarga, kenalan perlu main peranan pujuk individu celaru mental rujuk kaunselor

SHAH ALAM, 12 OGOS: Keluarga dan kenalan rapat perlu mendampingi dan memujuk individu yang mengalami kecelaruan mental untuk berjumpa pakar atau kaunselor bagi mendapatkan rawatan.

Pakar Psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris Dr Fauziah Mohd Saad berkata terdapat segelintir individu yang berdepan simptom itu memilih untuk berdiam diri kerana berasa malu dan takut.

“Sekarang banyak pusat kaunseling diwujudkan, malah badan bukan kerajaan (NGO) sentiasa mengadakan program ceramah berkaitan kesihatan mental. Jadi, sayang jika peluang ini tidak dimanfaatkan individu yang ada masalah mental.

“Namun masih ada yang malu (untuk jumpa pakar). Oleh sebab itu, kumpulan sokongan seperti keluarga dan kawan baik perlu bantu pujuk mereka dapatkan rawatan. Sekurang-kurangnya apabila saringan dibuat, kita boleh tahu sejauh mana tahap kesihatan mental mereka.

“Jangan sekadar mengungkapkan kata-kata ‘sabar’ terhadap individu berkenaan kerana bimbang mereka jadi lebih gusar, adalah lebih baik selidik dan dengar masalah mereka sebelum pujuk untuk jumpa pakar,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau berkata tekanan mental boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira usia dan latar belakang atas beberapa faktor, dengan paling ketara berpunca daripada masalah ekonomi serta hilang mata pencarian akibat pandemik Covid-19.

Dalam hal itu, Fauziah menyaran individu terbabit berbelanja secara berhemah dengan mengutamakan keperluan berbanding kehendak selain membuat perbelanjaan bulanan supaya aliran kewangan tidak terjejas.

“Bagi yang hilang kerja, mereka tidak boleh putus asa sebaliknya segera cari peluang baharu memandangkan platform perniagaan dalam talian terbuka luas ketika ini. Segala-galanya di hujung jari, asalkan ada rajin dan mahu jana pendapatan.

“Jangan terus menyalahkan kerajaan (kerana tidak menawarkan kerja) selain mencari alasan. Tindakan itu tidak boleh selesaikan masalah, tetapi cuba atasi masalah dihadapi dengan cara positif,” katanya.

Fauziah menambah faktor genetik turut mendorong seseorang itu mengalami masalah kesihatan mental berikutan ketidakseimbangan kimia dalam otak sejak lahir, namun mampu ditangani jika memiliki sikap berdaya tahan dalam setiap cabaran.


Pengarang :