Galeri Shah Alam dengan kerjasama Rumah Seni Selangor (RUSSEL) menganjurkan Pasar Seni Genta di pekarangan Laman Budaya Tasik Shah Alam pada 26 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Pembinaan galeri seni Shah Alam bantu kembang bakat pengkarya

SHAH ALAM, 3 OGOS: Selangor bakal memiliki galeri seni moden di Seksyen 14 di bandar raya ini yang menempatkan hasil karya penggiat seni tanah air, kata Borhan Aman Shah.

EXCO kebudayaan berkata pembinaan Shah Alam Modern Art (SAMA) yang terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dapat mengembang bakat seni golongan muda dan pelajar.

“Karya sama ada lukisan, arca atau apa sahaja hasil imaginasi seni akan dipamerkan. Bangunan galeri ini milik Bank Negara dan Kerajaan Negeri membelinya dengan harga RM33.4 juta,” katanya ketika menggulung usul RS-1 di sidang Dewan Negeri Selangor pada Isnin.

Beliau turut menyentuh kerja naik taraf sistem akustik bangunan, kerusi dan permaidani bangunan Teater Shah Alam yang menelan belanja RM12 juta.

Jelas Borhan pembaikan yang bermula seawal suku kedua tahun depan membolehkan pelaksanaan pelbagai aktiviti antaranya persembahan budaya, pementasan teater dan rakaman program televisyen.

RS-1 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar pada 27 Julai mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, usaha negeri itu tidak mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang masih berjalan dan memberi kesan kepada Selangor.

 


Pengarang :