Orang ramai membeli barang keperluan asas bagi membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri dalam Karnival Jualan Mega Prihatin anjuran PKPS di Kampung Pandan, Ampang Jaya pada April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKPS jelajah 160 lokasi anjur jualan murah hingga hujung tahun

SHAH ALAM, 10 OGOS: Program jualan murah barangan keperluan asas anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bakal berlangsung di 160 lokasi seluruh negeri hingga hujung tahun ini.

Pengurus Kanan Pemasarannya Md Fazir Abdul Latif berkata inisiatif Jualan Prihatin Rakyat itu dibuat melalui lori bergerak dalam program bersama wakil rakyat setempat.

Pengurus Kanan Pemasaran PKPS Md Fazir Abdul Latif

“Jualan yang diadakan pada Selasa hingga Ahad memberi peluang kepada rakyat mendapatkan barangan seperti telur dan ayam dengan harga lebih jimat berbanding pasaran luar.

“Selain itu, kita turut membawa daging pejal segar, ikan kembung atau selayang, minyak masak termasuk produk keluaran PKPS lain seperti biskut dan sardin,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau menganggarkan jualan antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap lokasi jelajah.

“Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan yang begitu hebat daripada penduduk setempat sejak dimulakan akhir tahun lepas,” katanya.

Sejak Disember tahun lalu, perbadanan terbabit menjalankan program jualan murah barangan asas di bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Sebanyak 10,000 ayam, 3,100 kg daging segar, 6,200 kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B dijual sepanjang program berkenaan.

Menerusi program itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).

Pada 25 Julai lalu, EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim memberitahu lebih 80,000 rakyat menerima manfaat melalui program berkenaan.


Pengarang :