Warga Perak, Tazar Alang Ibrahim, 62, bergambar di replika kereta kebal yang dihiasi Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-65 pada 31 Ogos ini ketika ditemui di Jalan Tasek baru-baru ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Guna bahan terpakai cipta replika sempena sambutan Bulan Kebangsaan

IPOH, 10 OGOS: Tidak mahu ketinggalan untuk bersama-sama rakyat Malaysia lain dalam memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan, seorang warga emas mengambil inisiatif mencipta pelbagai replika daripada bahan terpakai bagi menzahirkan semangat patriotik dan cintanya kepada negara.

Tazar Alang Ibrahim, 62, menggunakan bahan terpakai seperti tayar, besi dan plastik untuk membina replika kereta kebal, meriam dan helikopter berdekatan pondok jualan nasi lemaknya yang dihiasi dengan Jalur Gemilang.

Biasanya pengunjung yang melalui kawasan lapang berdekatan Masjid Muhammadiah, Tasek, akan singgah dan mengambil gambar replika itu sebelum memuat naik gambar berkenaan di platform media sosial masing-masing.

Tazar berkata beliau terpanggil untuk menggunakan bahan terbuang dan terpakai itu untuk mencipta replika bagi memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan kerana kaedah itu kian dilupakan pada zaman penuh kecanggihan teknologi ketika ini.

“Sejak tahun 1998 lagi, saya melakukan aktiviti ini kerana saya seronok melihat kemeriahan warna Jalur Gemilang di setiap replika ciptaan saya. Saya menggunakan ratusan bendera Malaysia dan pelbagai barang terbuang untuk menghasilkan replika ini.

“Tahun ini, saya hasilkan replika kereta kebal, meriam dan helikopter dengan menggunakan modal sendiri dan beberapa bahan terbuang seperti tayar lama, plastik dan besi,” kata bapa kepada dua orang anak itu kepada Bernama.

Menurutnya, biasanya beliau akan berusaha menyiap dan menghias replika rekaannya pada minggu pertama Ogos untuk dipamerkan kepada pengunjung serta masyarakat setempat.

“Selepas siap, saya akan ambil gambar untuk tatapan rakan-rakan di Facebook bagi membangkitkan kemeriahan Hari Kebangsaan. Ada yang memberi komen positif, ada juga yang datang dari Melaka, Pulau Pinang ke pondok saya untuk melihat replika tersebut,” katanya.

Beliau bagaimanapun berharap semangat patriotik dalam kalangan anak bangsa, tidak hanya dizahirkan pada bulan Kemerdekaan tetapi dalam kehidupan harian dengan memelihara hubungan sesama kaum dan bangsa sebagai rakyat Malaysia.

– BERNAMA


Pengarang :