Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENDA JENAYAH

Polis berkas empat individu disyaki eksploitasi pekerja asing

SHAH ALAM, 11 OGOS: Polis menahan empat individu termasuk dua warga asing yang disyaki terlibat dengan eksploitasi buruh paksa kalangan pekerja asing, pada Selasa lepas dalam satu operasi di kawasan Kampung Sungai Udang, Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata dalam operasi pada 6.30 petang itu, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta seorang lelaki dan seorang wanita warga asing lingkungan umur 38 hingga 43 tahun yang merupakan ejen pekerjaan.

Dalam operasi itu, Cha berkata mangsa seramai enam individu termasuk tiga wanita warganegara asing berumur dalam lingkungan 24 hingga 44 tahun telah diselamatkan di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan merampas 20 pasport dan wang tunai sebanyak RM13,600 yang dipercayai gaji pekerja.

“Siasatan menunjukkan kesemua mangsa terdedah eksploitasi kerja paksa di sebuah kilang simen oleh pihak ejen pekerjaan. Pihak ejen disyaki telah menguruskan pekerjaan dan mengawal pembayaran gaji kepada kesemua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya kesemua mangsa telah dijanjikan pekerjaan di kilang dengan tawaran gaji yang lumayan semasa berada di negara asal dan apabila tiba di Malaysia, kos perjalanan dan pasport telah dipotong dari gaji setiap bulan.

Cha berkata pasport kesemua mangsa ditahan oleh pihak ejen dan tiada permit kerja sah sebagaimana yang dijanjikan oleh pihak ejen semasa di negara asal selain mangsa juga disyaki telah dipaksa kerja lebih masa untuk membayar balik segala kos perjalanan dan pasport.

Beliau berkata Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 12 ATIPSOM 2007 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

“Majistret Mahkamah Klang meluluskan reman ke atas semua suspek selama enam hari, sehingga 15 Ogos ini dan pihak polis masih menjalankan siasatan dan akan melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh terdekat,” katanya

Operasi tersebut dijalankan oleh Bahagian D3 ATIPSOM, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman yang diketuai Ketua Penolong Pengarah D3 SAC Fadil Marsus bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

– BERNAMA


Pengarang :