EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud (tengah) bersama wakil penaja dan hospital panel sempena majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor di Hotel De Palma, Shah Alam pada 16 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Yawas, JKM Selangor jalin kerjasama perkasa program anak istimewa

SHAH ALAM, 16 OGOS: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkasakan program Anak Istimewa Selangor (Anis).

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga berkata usahasama itu meliputi program utama seperti Didik Anis, Akademi Cikgu Anis dan Pusat Sokongan Kehidupan Berdikari (ILSC) selain promosi, intervensi dan saringan.

“Apabila kita merangka polisi awam dan melaksanakan inisiatif untuk golongan sasar, aspek kolaborasi harus dirangkumkan khususnya yang membabitkan agensi kerajaan.

“Kita semua harus bergerak ke arah matlamat yang sama iaitu memberdaya anak kelainan upaya (OKU) termasuk memperkasa keluarga dan komuniti,” kata Dr Siti Mariah Mahmud ketika majlis menandatangani MoU di Hotel De Palma di sini.

MoU itu ditandatangani Pengurus Besar Yawas Gan Pei Nei manakala JKM Selangor diwakili Pengarahnya Dr Zaitol Salleh sambil disaksikan Dr Siti Mariah.

Pada masa sama, beliau berkata kerjasama itu sebenarnya dimulakan sejak 2019, malah Kerajaan Selangor menyalur bantuan kewangan Didik Anis sebanyak RM1.12 juta kepada 55 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).

“Paling penting ketika ini adalah kesediaan JKM Selangor berkongsi data dan maklumat berkaitan OKU di negeri ini serta memberi nasihat terutama bagi merangka penubuhan ILSC,” katanya.

Dalam pada itu, Pei Nei menyifatkan MoU itu sebagai galakan untuk meningkatkan kerjasama sedia ada khususnya melalui Jabatan Anis yang ditubuhkan pada November 2020.

“Jabatan ini berperanan merancang dan melaksanakan segala polisi serta program berkaitan anak istimewa negeri ini.

“Pusat Anis juga menjadi pusat penyelidikan dan latihan bersama dengan rakan strategik lain bagi memberikan khidmat sokongan kepada komuniti,” katanya.


Pengarang :