Petugas kesihatan mengambil sampel darah sempena program Selangor Saring di Dewan MPAJ Lembah Jaya, Ampang pada 11 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Saringan kesihatan percuma kesan 75 individu ada gejala barah

SHAH ALAM, 16 OGOS: Seramai 75 daripada 2,078 individu yang menjalani ujian barah menerusi program Selangor Saring disyaki mempunyai gejala penyakit itu, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata semua sampel darah individu berkenaan sudah dihantar ke hospital untuk pengesahan sebelum tindakan lanjut diambil.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berucap dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Yayasan Warisan Anak Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor di Hotel De Palma, Shah Alam pada 16 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Setakat ini, lebih 12,000 individu sudah menjalani pemeriksaan kesihatan percuma yang dijalankan di 34 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Daripada jumlah itu, kira-kira 10,000 peserta membuat saringan penyakit tidak berjangkit (NCD) manakala bakinya 2,078 ujian barah,” katanya ketika ditemui dalam satu acara di Hotel De Palma di sini, hari ini.

“Kebanyakan individu yang hadir ke program terbabit mendaftar awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan ada juga yang datang terus (walk in) ke lokasi buat pemeriksaan.”

Dalam pada itu, Dr Siti Mariah berkata pihaknya sedia mempertimbang cadangan wakil rakyat supaya program terbabit dianjur secara berkala sekurang-kurangnya dua kali setahun, namun bergantung kepada peruntukan.

Menurutnya, beberapa penambahbaikan juga perlu dibuat memandangkan program terbabit baru pertama kali dilaksanakan.

“Insya-Allah kita akan teruskan sebab ADN (Ahli Dewan Negeri) memang suka program sebegini dibuat di kawasan mereka. Paling penting adalah kesedaran rakyat untuk melakukan pemeriksaan kesihatan meningkat.

“Kita mahu program ini memberi dampak kepada rakyat tetapi pada masa sama kos kena berpatutan. Mungkin selepas ini rakyat boleh pergi ke mana-mana klinik berhampiran tanpa perlu tunggu Kerajaan Negeri buat program,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan barah payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :