Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (berdiri, tengah) bergambar bersama pemenang sempena Majlis Hadiah Sastera Selangor 2021 di The Saujana Hotel, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hasrat perluas Hadiah Sastera Selangor, jalin kerjasama akhbar Indonesia

SHAH ALAM, 11 SEPT: Pengajuran Hadiah Sastera Selangor (HSS) mungkin diperluaskan kepada pengkarya Indonesia susulan penyertaan tinggi dari penggiat seni negara jiran itu.

Ketua pengarah eksekutif Media Selangor Sdn Bhd berkata cadangan berkenaan boleh dijayakan menerusi kerjasama dengan akhbar Kompas dan majalah Tempo yang terkenal di sana.

“Kita terima banyak karya dari Indonesia. Dengan itu saya cadangkan selepas ini jika HSS boleh jalinkan kerjasama dengan Tempo dan Kompas,” kata Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree ketika berucap sempena malam HSS 2021 di Hotel Saujana Kuala Lumpur, dekat sini malam tadi.

Majlis yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut dihadiri Sasterawan Negara Datuk Seri Dr A Samad Said dan Dato’ Dr Anwar Ridhwan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan buku terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree (kiri) dan Pengarah Eksekutif IBDE Farhan Affandi sempena Hadiah Sastera Selangor 2021 di The Saujana Hotel, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Hadiah Sastera Selangor yang bermula pada 2015 dalam genre cerpen, sajak dan esei diperkenalkan Amirudin ketika menyandang jawatan EXCO Pembangunan Belia, Sukan, Kebudayaan dan Keusahawanan.

Karya yang dinilai setiap tahun sejak tarikh itu pernah diterbitkan dalam akhbar mingguan atau portal berita Selangorkini yang diterbitkan oleh Media Selangor Sdn Bhd, agensi rasmi penerangan Kerajaan Negeri.

Namun mulai tahun 2021, demi meluaskan pembabitan penulis dan meningkatkan lagi mutu karya, Selangorkini tiga lagi penerbit bagi menjayakan Hadiah Sastera Selangor 2021.

Kerjasama tersebut dijayakan oleh Dewan Sastera (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka), jurnal kebudayaan Svara dan halaman media sosial Tukang Puisi.

Usaha baharu ini diambil sejajar dengan cadangan kumpulan juri Hadiah Sastera Selangor 2020 seperti dibentangkan dalam majlis anugerah yang disiarkan dalam talian pada 20 Julai 2021.

Bagi setiap kategori, seorang pemenang utama dan empat hadiah penghargaan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan RM1,000. Karya kumpulan pemenang ini dirakam dalam buku Si Pena setiap tahun selepas majlis anugerah dan dilancarkan pada majlis tahun berikutnya.


Pengarang :